Tajuk Novel: Jerat
Penulis: Dayang Noor
Terbitan: Fixi
Harga: RM20
Buku Fixi ialah syarikat penerbitan novel yang mula aktif pada tahun 2011. Ia memberi tumpuan kepada karya-karya baru yang bersifat urban dan masakini. Nama syarikat diambil dari perkataan Bahasa Indonesia ‘fiksi’ yang diambil dari perkataan Bahasa Inggeris ‘fiction’ yang diambil dari Bahasa Perancis Lama ‘ficcion’ yang diambil dari Bahasa Latin ‘fictionem’ … untuk menunjukkan yang tidak ada apa-apa yang original dalam dunia ini. Sasaran kami ialah untuk terbitkan sekurang-kurangnya satu novel setiap bulan. (source: www.fixi.com.my)
Jerat mempamerkan bagaimana Shereen, seorang yang pakar dalam bidang IT dan merupakan salah seorang orang penting syarikat telah terlibat dalam kemalangan. Malangnya kemalangan tersebut menyebabkan Shereen hilang ingatan. Sebelum kemalangan terbabit, beberapa siri pembunuhan kejam telah berlaku. Ini menimbulkan tanya bagi pihak berkuasa kerana semua yang berlaku adalah dalam satu tempoh masa yang singkat. Jadi, pembunuhan dan kemalangan ini mula disiasat oleh pihak berkuasa, kononnya ia ada kaitan dengan tender IT bernilai RM400 juta. Shereen yang hilang ingatan keliru dengan orang-orang disekelilingnya - siapa yang boleh dipercayai dan tidak boleh dipercayai. Di sini muncul watak Melia, Tash, Rizwan dan ramai lagi yang samar-samar perwatakannya bagi Shereen. Pada masa yang sama, Shereen juga terpaksa berdepan masalah syarikat iaitu membongkar kegiatan penyeludupan kod-kod program ke luar negara yang dijual di pasaran gelap tanpa menyedari ini semua adalah satu jerat. Sama ada Shereen melepasi Jerat atau kecundang, ia hanya jelas terbongkar di penghujung novel ini.
Apa yang saya suka mengenai novel ini adalah konflik dalaman syarikat yang diketengahkan si penulis. Semua sifat pentingkan diri, tamak, skandal, dan juga hasad dengki adalah antara punca bagi konflik-konflik yang berlaku. Watak dan perwatakan yang diperkenalkan juga amat menarik, di mana saya sukar mengagak siapa yang benar-benar baik dan sebaliknya. Jalan cerita disusun kemas, watak-watak memainkan peranan yang baik dalam membuatkan jalan ceritanya 'twisted' dan 'thrilled'.
Penulis menggunakan bahasa dan dialek yang mudah difahami. Ini juga merupakan salah satu kelainan dan keistimewaan buku Fixi. Bahasa yang digunakan bersifat masa kini dan juga bahasa pasar yang digunakan masyarakat masa kini. Secara keseluruhannya, novel ini menarik dan memuaskan hati!


0 comments:
Post a Comment